Alhamdulillah. Syukur kita ke hadrat Ilahi dengan segala nikmat dan kurniaan yang telah Dia berikan.
Di sini lidah penulis ingin membicarakan tentang kealpaan. Lebih sinonim dengan lupa. Adakah mereka diluar sana mengakui dirinya senang, hebat, berjaya sedangkan mereka sedang di uji. Mereka alpa sewaktu mereka senang ataupun susah ia merupakan sebuah bentuk ujian dari Allah kepada hamba-Nya yang digelar manusia.
Di dalam al-Quran Allah menyatakan bahawa:-
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
Surah al-ankabut ayat 2-3
Saya sendiri mengakui yang saya sering alpa, pada apa? pada siapa? Tentulah semua tahu tanggungjawab masing-masing. Saya ini makhluk ciptaan-Nya yang lemah tetapi diri saya ini alpa. Kenapa saya alpa? Kerana saya taksub dengan nikmat dunia. Ada apa pada dunia? Keseronokkan, kegembiraan, kekayaan, kesenangan, ketenangan.
Adakah semua ini benar wahai saudara dan saudari? Kita gembira dengan dunia, kita mencari kekayaan dengan pelbagai cara, dengan kekayaan kita jamin mendapat kesenangan. Tetapi kita manusia, manusia tetap manusia. Kita lupa bahawa kita senang didunia tidak bermakna kita senang diakhirat. Ini kerana kita senantiasa diuji dengan pelbagai ujian samada kita sedari atau tidak. Yakinlah bahawa setiap ujian yang datang, janganlah kita lupa bahawa Allah mendatangkannya setiap ujian itu mengikut kemampuan kita sendiri. Kita lupa tentang itu. Itulah sifat sebenar manusia. Alpa, Lupa!
Firman Allah:-
Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar (bagi segala permasalahannya) -
Surah al-Talaq ayat 2
Apakah yang paling penting dalam hidup kita? Mengejar apa? Dunia? Maaflah sekiranya ada yang tersinggung dengan bicara ilmu ini. Ada yang mengatakan, "Saya mencari harta kekayaan untuk membantu keluarga, apabila kekayaan saya berlipat ganda, maka bergandalah amalan saya dengan mengamalkan sedekah".
Benar! Itu memang tidak salah. Tapi akan didatangkan ujian dan akan meresaplah perasaan alpa didalam hati manusia itu. Dibisikkan hawa nafsu berbunyi, "Ah! Bukankah lebih baik jikalau harta kekayaan aku ini digunakan aku untuk melancong (didalam hati berbicara bila lagi aku nak mendapat duit sebanyak ini). Bukanlah lebih baik aku menghiasi rumah aku ini dengan perabot-perabot mahal supaya kaum keluarga aku lebih selesa?
Inilah yang biasa terjadi. Ini yang biasa kita dengari. Tetapi saya yakin bahawa saudari dan saudara adalah hamba Allah yang kuat-kuat belaka dengan izin-Nya. Banyak lagi perkara-perkara yang kita lupa dan tanpa kita sedari akan mengakibatkan kerugian terhadap diri kita sendiri. Perkara diatas adalah contoh dan semoga pembaca menjadikannya peringatan supaya jangan jadi seorang yang alpa pada janji terhadap diri sendiri
Janganlah bimbang wahai saudara dan saudari, sesungguhnya kita sebagai makhluk ciptaan-Nya sentiasa dilindungi selagi mana kita mengingati Allah S.W.T.
Firman Allah:-
Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia.
"Yang Menguasai sekalian manusia,
"Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia,
"Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, -
"Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, -
"(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia".
Surah An-Nass ayat 1 - 6.
Janganlah kita alpa untuk kembali ke jalan Allah kerana itulah satu-satunya jalan ke arah kebahagian dunia dan akhirat. Semoga menjadi peringatan kepada saudara dan saudari dan juga yang terutama untuk diri saya sendiri.
Insyallah...
No comments:
Post a Comment